333 disyaki terlibat dadah ditahan Januari hingga Julai di Labuan

LABUAN: Seramai 333 orang terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah ditahan sejak Januari hingga Julai tahun ini di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, tangkapan itu turut melibatkan rampasan sebarat 368.21 gram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih  RM24,00.00.

Katanya, antara jenis dadah yang berjaya dirampas termasuklah 337.48 gram syabu, 21 gram ganja dan 9.73 gram pil ekstasi.

“Operasi dan tangkapan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu juga telah menyita pelbagai  aset  hasil  kegiatan dadah bernilai RM44,156.50 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta 1988)”, katanya di sini.

Mohd Hamizi berkata, pihak polis memandang serius kegiatan penyalahgunaan dadah khususnya pengedar dadah yang berlaku di pulau ini.

“Pihak Polis komited untuk membanteras kegiatan ini secara berterusan terutamanya  untuk menangkap pengedar dadah yang aktif di pulau ini”, jelas Mohd Hamizi.