PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan individu yang menjadi kontak rapat tetapi menerima dos penggalak serta tidak bergejala, tidak lagi perlu menjalani kuarantin berkuat kuasa 1 Mac ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bagaimanapun individu berkenaan perlu menjalani ujian kendiri (RTK) pada hari pertama dan ketiga pada tarikh akhir mereka terdedah dengan kes positif berkenaan.
“Sekiranya ujian yang dijalankan itu negatif, individu ini boleh lakukan urusan seperti biasa, manakala mereka yang positif pula perlulah melaporkan dalam aplikasi MySejahtera serta menjalani tempoh isolasi.
“Bagi individu yang lengkap dos vaksin dan belum menerima dos penggalak, mereka kekal perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lima hari,” katanya pada sidang media hari ini.