SIPITANG: Keunikan negeri ini yang rakyatnya terdiri dari banyak kaum tetapi mampu hidup dalam suasana harmoni harus dijaga khususnya kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ini merupakan aset unik dalam aspek kepelbagaian kaum di negara ini dengan Sabah mempunyai kira-kira 37 suku kaum.
“Ini juga merupakan aset penting negeri ini dalam membangunkan negeri ini dan mengekalkan keamanan,” katanya pada majlis penutupan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024 anjuran Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) Kampung Pantai dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pantai di Dewan Mini Serbaguna Kampung Pantai, semalam.
Hadir sama Timbalan Presiden PAADIAN Ramlee Kariah dan Naib Presiden PAADIAN Rafie Isa.
Dr Yusof yang juga Presiden PAADIAN berkata, penganjuran acara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah penting agar rakyat khususnya generasi muda dilibatkan untuk sama-sama menghargai kemerdekaan yang dikecapi selama ini.
Katanya, kemerdekaan yang dikecapi selama ini adalah hasil dari perjuangan dan pengorbanan pemimpin dan pejuang-pejuang negara dari pelbagai pelusuk di negara ini termasuk di daerah ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, PAADIAN menyokong penuh penganjuran acara ini yang dianjurkan bersama dengan KRT Kampung Pantai bagi memupuk semangat kemerdekaan kalangan penduduk kampung.
Menurutnya, pada tahun ini, PAADIAN juga telah menghantar peserta bagi menyertai acara Perbarisan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri di Kota Kinabalu pada Sabtu lepas.