Ketua Menteri berniat baik, Azis Jamman bersangka buruk – Nizam

KOTA KINABALU : Membaca kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN) Mohd Azis Jamman berkaitan isu biasiswa anaknya membuktikan ia sering bersangka buruk sekali gus mencari jalan untuk mencemarkan imej Ketua Menteri Sabah.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberikan contoh beliau adil memberikan bantuan kepada sesiapa yang memohon pertolongan, tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik.

Katanya, ini merupakan contoh yang sesuai memandangkan pelbagai kritikan serta fitnah dilemparkan terhadap dirinya mahupun kerajaan pimpinannya, beliau tetap berpendirian menegakkan keadilan adalah prinsip penting yang menjadi pegangannya.

“Sejak mentadbir Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor terkenal dengan sikapnya yang sentiasa membantu pihak memerlukan tanpa mengira bangsa, agama ataupun pandangan politik.

“Menceritakan situasi Azis Jamman dan keluarga bertemu secara peribadi dengan Ketua Menteri untuk mendapatkan kelulusan biasiswa adalah contoh yang ingin diberikan Hajiji tentang prinsipnya yang berkhidmat untuk semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam merupakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, ini menunjukkan diri sebenar Azis yang tidak tahu bersyukur serta berterima kasih malah Azis angkuh menghentam sekali gus menghina Ketua Menteri yang berniat baik untuk membantu anaknya.

“Saya pasti prinsip membantu semua rakyat memerlukan akan diteruskan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Sudah tentu ramai yang akan menerima manfaat daripada sikap terpuji yang dipamerkan oleh Ketua Menteri kita,” jelas Nizam.