KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus diperkukuh bagi memperkasakan pembangunan belia dan sukan di negeri ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari di Menara KBS, Putrajaya.
Katanya, pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada hala tuju strategik pembangunan belia dan sukan agar selari dengan aspirasi nasional.
“Perbincangan turut melibatkan usaha menaik taraf fasiliti serta infrastruktur sukan di Sabah bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada atlet,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kedua-dua pihak penting dalam memastikan pembangunan belia dan sukan di Sabah terus berkembang secara mampan.
