Kerajaan Sabah Pertaruh Acara BE Tarik Pelaburan, Kukuh Ekosistem Perniagaan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melihat penganjuran acara perniagaan (BE) sebagai instrumen strategik dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam menarik pelaburan, memperluas jaringan industri dan meningkatkan keupayaan ekosistem perniagaan tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, platform seperti BE berfungsi sebagai pemudah cara penting antara dasar kerajaan dan pelaksanaan di peringkat industri, selain menghubungkan kepakaran global dengan kapasiti tempatan.

Menurutnya, penganjuran BE selari dengan hala tuju ekonomi Sabah yang menekankan pertumbuhan inklusif, seimbang dan mampan, berasaskan kestabilan, tadbir urus yang baik serta penciptaan nilai jangka panjang.

“Keyakinan pelabur antarabangsa tidak hanya bergantung kepada pengumuman dasar, tetapi kepada konsistensi dasar, kejelasan hala tuju dan keupayaan pelaksanaan. Dalam konteks ini, BE bertindak sebagai jambatan strategik antara pembuat dasar, industri dan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, sempena Forum Antarabangsa ‘BE in Sabah’ Kali Ketiga 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hajiji turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong penganjuran program berimpak tinggi yang menggalakkan dialog pelaburan, kerjasama rentas sempadan serta penglibatan serantau, selari dengan kedudukan strategik Sabah di ASEAN Timur.

Selain itu, beliau berkata penganjuran forum berkenaan di SICC mencerminkan kesiapsiagaan infrastruktur dan perkhidmatan negeri dalam mengendalikan acara berskala antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan institusi dan industri tempatan.

Dalam pada itu, Biro Konvensyen Sabah (SCB) di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan memperkukuh kerjasama bersama industri bagi mewujudkan persekitaran penganjuran acara yang profesional dan diyakini di peringkat global.

Hajiji berkata, forum seperti BE memberi peluang penglibatan langsung antara kerajaan negeri, peneraju industri antarabangsa dan pemain tempatan, sekali gus mempercepat pemindahan pengetahuan serta meningkatkan daya saing ekonomi Sabah.