KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah buat masa ini belum merancang untuk mewujudkan Majlis Daerah Sook memandangkan beberapa kriteria penting masih perlu diteliti dan dipenuhi.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pewujudan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memerlukan kajian menyeluruh bagi memastikan syarat yang ditetapkan dipatuhi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, antara kriteria yang perlu dipenuhi termasuk jumlah penduduk, hasil pendapatan tahunan, kemudahan infrastruktur serta keupayaan menyediakan perkhidmatan perbandaran asas.
“Selain itu, kawasan berkenaan perlu mempunyai struktur tadbir urus interim sekurang-kurangnya tiga tahun serta pelan pembangunan yang jelas,” katanya.
Namun, beliau berkata kerajaan masih boleh mempertimbangkan penubuhan majlis daerah baharu walaupun tidak memenuhi sepenuhnya semua kriteria, bergantung kepada kemampuan kewangan dan keupayaan berdikari.
