SANDAKAN : Isu kesulitan rakyat ketika berurusan di pejabat Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Sandakan perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Wanita, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Anna Bell @ Suziana Perian berkata isu itu perlu diatasi segera bagi meningkatkan mutu perkhidmatan sekaligus menangkis persepsi negatif rakyat.
Katanya, dalam masa yang sama, tindakan untuk menaiktaraf perkhidmatan yang sedia ada perlu dilaksanakan bagi kemudahan masyarakat yang datang berurusan di pejabat itu.
“Saya dan rakyat Sandakan amat memahami kekangan yang berlaku sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya bagi penduduk di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Sabah News Today telah memaparkan laporan berita mengenai kesulitan rakyat yang datang berurusan di pejabat JPN Daerah Sandakan, Batu 7 di sini, semalam.
Rakyat di daerah ini menyuarakan rasa kecewa dengan sistem perkhidmatan JPN Daerah Sandakan termasuk perlu menunggu sehingga berjam lamanya hanya untuk urusan mendapatkan pengesahan dokumen.
Rata-rata masyarakat yang ditemui merungut dengan tahap kecekapan sistem JPN Daerah Sandakan yang masih kurang memuaskan.
Isu tersebut telah lama berlarutan dan tindakan segera perlu diambil oleh pihak berwajib bagi menangani isu yang berlaku.