TAWAU: Kerajaan negeri berusaha memastikan segala keperluan serta kemudahan rakyat dapat dipenuhi sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berlata, masalah wujud di peringkat kampung akan cuba diselesaikan sebaiknya demi keselesaan hidup rakyat.
Katanya, selaku wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas beliau akan memastikan segala masalah penduduk kampung diberikan perhatian segera.
“Saya akan meminta semua pegawai di DUN Apas khususnya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) supaya meneliti setiap permohonan atau permintaan penduduk di peringkat kampung.
“Hari ini, beberapa masalah di Kampung Kinabutan Bukit ini yang perlu diselesaikan, antaranya iaitu kemudahan masjid,” katanya di sini semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kemudahan ini adalah paling utama diperlukan penduduk memandangkan ada cadangan untuk pembinaan di tapak tanah baharu sahaja diwakafkan.
“Kita melihat masjid adalah kemudahan yang harus diberi perhatian memandangkan Masjid Al-Ghafor kini berada di kawasan sekolah.
“Saya bersetuju terhadap cadangan itu dan akan berusaha bagi memastikan masjid itu didirikan dengan syarat status tanah berkenaan adalah rizab kampung,” jelas Nizam.
