Kerajaan Negeri Sabah beri penekanan kepada pembangunan modal insan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memberi penekanan pada pembangunan modal insan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji  Noor.

Menurut beliau, selain memberi tumpuan kepada sektor utama Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan pemulihan, penekanan juga adalah untuk mendorong teras kedua Pelan Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kemakmuran Rakyat.

“Saya telah menekankan perkara ini dalam Bajet 2022 Negeri di mana terdapat dana yang besar diperuntukkan kepada agensi dan kementerian berkaitan untuk pembangunan modal insan,” katanya di Majlis Anugerah Shell LiveWIRE Sabah 2021 di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.

Hajiji berkata. sejumlah RM24 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia untuk menjalankan kursus dan latihan kemahiran dalam teknologi, teknikal dan perdagangan bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta melahirkan insan yang berwibawa dan generasi berdaya tahan.

Ini termasuk Program Pembangunan Bakat dan Keusahawanan Sabah untuk
membantu belia yang hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Platform terkini yang ditubuhkan ialah Pusat Produk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Kota Kinabalu, Beaufort dan Ranau dengan kerjasama dengan rangkaian pasar raya.

“Ini akan meningkatkan sektor runcit tempatan bagi mereka yang berhasrat untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Sebanyak RM5.76 juta juga diperuntukkan untuk menubuhkan empat lagi Pusat Industri Kecil Sederhana (IKS) pada 2022 di peringkat daerah untuk memasarkan produk IKS. Begitu juga dengan Program Bantuan IKS (BAIKS) yang telah membantu seramai 3,269 usahawan di negeri ini akan dipergiatkan,” katanya.

Hajiji memuji Shell kerana memperkenalkan program pembangunan keusahawanan di Sabah tujuh tahun lalu yang memberi manfaat kepada golongan muda di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan semua pihak termasuk sektor swasta untuk melengkapkan usaha pembangunan seperti yang digariskan dalam tempoh lima tahun rancangan pembangunan negeri, Hala Tuju SMJ.

“Saya gembira mengetahui bahawa program Shell LiveWIRE telah menyokong usahawan tempatan untuk mendapatkan pengetahuan, kemahiran, rangkaian dan sumber, dan mengubah idea perniagaan mereka menjadi perusahaan yang berjaya,” katanya.

Hajiji menggalakkan usahawan baru untuk mencari dan mengambil kesempatan daripada inisiatif kerajaan serta memanfaatkan peluang seperti program Shell LiveWIRE ini.

Beliau turut menggesa usahawan di negeri ini supaya berfikir di luar kotak dan menerima pakai baharu pendekatan untuk berjaya dalam dunia yang kompetitif dan cepat berubah.