Program Jerayawara Keluarga Malaysia bantu beri banyak maklumat kepada rakyat: Juliah

TUARAN: Golongan suri rumah digalak mengambil peluang penganjuran Program Jerayawara Keluarga Malaysia: Keluarga@Kerja untuk menambah pengetahuan berkaitan institusi kekeluargaan dan penjagaan kesihatan.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag berkata program itu memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama wanita, khususnya dalam dua aspek berkenaan.

“Sehubungan itu, saya berharap lebih ramai wanita khususnya ibu-ibu, suri rumah dan wanita yang bekerja untuk meluangkan masa hadir dalam program seperti ini yang turut diadakan di beberapa kawasan lain.

“Program ini adalah antara usaha kerajaan untuk membantu wanita lebih peka dengan penjagaan kesihatan diri. Saya juga meminta semua yang hadir pada hari ini agar mengambil peluang bukan saja menimba pengetahuan baharu berkaitan institusi kekeluargaan tetapi juga mendapatkan nasihat kesihatan yang berkaitan.

“Pesan saya, kita perlu menjadi wanita yang sentiasa menjaga kesihatan kerana kita adalah orang penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan,” katanya ketika merasmikan Program Jerayawara Keluarga Malaysia: Keluarga@Kerja di sini hari ini.

Program itu diadakan dengan Kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah dan Mutiara GRS.

Juliah berkata, selain daripada program pendidikan kekeluargaan, Perkhidmatan Keluarga Bergerak (PKB) LPPKN turut disediakan bagi memberikan khidmat nasihat klinikal, saringan pemeriksaan kesihatan dan pendaftaran mamogram secara percuma kepada wanita yang layak mengikut kriteria.