Kerajaan negeri masih menunggu status tanah di Kampung Lok Urai Pulau Gaya: Shahelmey

Shahelmey berbicang dengan pegawai di PPS, Sembulan hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri masih menunggu laporan lengkap daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengetahui status tanah di Kampung Lok Urai Pulau Gaya yang terbabit dalam kebakaran malam tadi.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, langkah ini bagi membolehkan mangsa kebakaran dapat membangunkan semula rumah sekiranya status tanah di kawasan itu sudah diwartakan sebagai perkampungan yang sah.

Katanya, pihaknya akan membantu menyalurkan peralatan bahan binaan bagi membolehkan mereka dapat mendirikan semula rumah di kawasan berkenaan.

Shahelmey melawat mangsa kebakaran di PPS Sembulan hari ini.

“Kita difahamkan dalam tempoh terdekat DBKK akan mengemukakan laporan langkap berkaitan status tanah perkampungan berkenaan…Namun, sekiranya tanah itu tidak diwartakan maka, bantuan bahan binaan tidak dapat disalurkan.

“Kita menjangkakan akan dapat menerima laporan itu dalam tempoh terdekat. Selain itu kita masih juga mendapatkan rekod keluarga yang terlibat sama ada mereka mempunyai taraf kewarganegaraan atau bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa kebakaran yang di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sembulan, hari ini.

Ketika ditanya berkaitan penempatan mangsa kebakaran berkenaan beliau berkata, kebakaran yang membabitkan 73 rumah ini, kesemua mereka di tempatkan di PPS Dewan Serbaguna Sembulan membabitkan 13 keluarga manakala dua keluarga di tempatkan di Dewan Serbaguna Likas.

“Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) sudah menyediakan khemah untuk membolehkan mangsa kebakaran bermalam di PPS dalam tempoh tiga hingga tujuh hari,” katanya.

Dalam kebakaran malam tadi di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya mengakibatkan hampir 200 orang hilang tempat tinggal setelah 73 buah rumah musnah terbakar.

Tindakan pantas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadamkan api daripada merebak berjaya menyelamatkan 757 rumah daripada turut terbakar.

SabahNewsToday

Leave a Reply