KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited membanteras gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam melalui pembudayaan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kepemimpinannya amat menitikberatkan aspek itu yang digariskan dalam strategi pertama pembudayaan dan pengukuhan integriti perkhidmatan awam di negeri ini.
“Kepemimpinan kerajaan negeri menitikberatkan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan yang dapat dilihat melalui sokongan pengurusan tertinggi bagi memastikan negeri ini melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA (Governans, Integriti dan Antirasuah),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 dan Penyerahan Sijil Tamat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) Siri 36 Bilangan 3 Tahun 2023 Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.
Hajiji berkata, strategi kedua yang digariskan kerajaan negeri turut menekankan usaha memantapkan kesedaran mengenai kepentingan penilaian risiko dalam organisasi.
“Pengurusan risiko rasuah dilaksanakan di setiap agensi untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pegawai agar bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kuasa yang diberi.
“Ketiga ialah usaha ke arah memantapkan langkah kawalan membendung risiko dan ancaman isu integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Keempat ialah keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan setiap pihak berkepentingan dalam organisasi semua agensi Kerajaan Negeri Sabah.
“Dan kelima, usaha pemerkasaan latihan dan komunikasi nilai-nilai Murni bagi meningkatkan pemahaman dan kemahiran pegawai kerajaan dalam membanteras isu integriti dan rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan ketika ini bukan saja berusaha memulih dan membangunkan semula ekonomi negeri, malah memantapkan sistem penyampaian kerajaan agar lebih cekap, telus, pantas dan tangkas.
Bagi mencapai usaha itu, katanya, ia memerlukan penjawat awam yang berdedikasi, berdisiplin dan berintegriti dalam memikul dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.