MAIWP peruntuk RM60.1 juta bantu asnaf dan miskin di Labuan

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan  (MAIWP) memperuntukkan RM60.1 juta  sepanjang tahun 2023 untuk melaksanakan pelbagai program bagi  membantu golongan asnaf dan miskin di Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk  Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan itu sebagai usaha berterusan pihak MAIWP membantu meningkatkan taraf kehidupan asnaf yang terdapat di Labuan.

“Sehingga bulan September tahun ini sebanyak RM47.7 juta telah diagihkan  kepada golongan asnaf  menerusi pelbagai program sebagai usaha membantu golongan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media  pada Program Kembara Kasih Asnaf 2023 di Dewan Homestay Kampung Sungai Labu, semalam.

Selain itu, beliau juga mahu MAIWP terus komited dan bersungguh sungguh untuk turun padang menjejaki asnaf kerana ini adalah peluang terbaik MAIWP untuk mendengar secara langsung permasalahan yang dihadapi oleh  masyarakat setempat  terutamanya golongan asnaf.

“Pendekatan ini  bukan sahaja membolehkan MAIWP  memahami kesusahan golongan asnaf tetapi juga   membuktikan  kesungguhan MAIWP  dalam membantu meningkatkan  taraf kehidupan golongan tersebut,” katanya.

Mohd Na’im berkata, antara kejayaan  yang dicapai oleh MAIWP  ialah Program Perumahan Asnaf di Ganggarak Permai melibatkan peruntukan RM33.83 juta  untuk 140 unit rumah dan program keusahawanan melalui penanaman cendawan untuk meningkatkan  taraf kehidupan asnaf.

Katanya, MAIWP  sentiasa berjuang  dalam memperbanyakkan usaha-usaha kebajikan sosio ekonomi dan juga pembangunan modal  insan seperti yang dirancang dalam Pelan Strategik MAIWP 2021-2025.

“Ini terbukti dengan Projek pembinaan  Kompleks Sekolah Menengah Agama (SMA) Labuan di Kampung Sungai Bedaun yang bernilai RM  RM58.3 juta  dengan kapasiti 600 pelajar.

“Projek yang bermula pada tahun lalu  dijangka siap sepenuh  dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan pelbagai bantuan kepada golongan asnaf termasuk penyerahan kerusi laser dan mesin Laser YAG bernilai RM183,900 serta bantuan keusahawanan  asnaf berjumlah RM800,000. kerusi roda bernilai RM4,450 program transformasi kamahiran dan ekonomi untuk B40 sebanyak RM166,000 dan Program Kembara Kasih Asnaf berjumlah  lebih RM1.2 juta.

Beliau juga turut menyampaikan bantuan bakul makanan bernilai RM100 kepada 20 nelayan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  (Pengurusan) MAIWP Mohd Fauzi Abidin dan Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad.