LABUAN: Polis menahan dua lelaki yang disyaki menjadi dalang mangsa pemerdagangan manusia melibatkan tujuh wanita warga Filipina di salah sebuah hotel di Labuan.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, kedua-dua lelaki yang melibatkan seorang warga tempatan dan seorang lagi warga Filipina ditahan melalui OP Pintas pada 13 Oktber lalu sejurus menerima aduan daripada pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur
Katanya maklumat awal yang diterima daripada pihak kedutaan Filipina apabila dua daripada mangsa berjaya menghubungi kedutaan itu untuk meminta diselamatkan selepas berjaya melarikan diri dari tempat penginapan mereka.
“Hasil daripada aduan itu, pihak Polis telah berjaya menyelamatkan tujuh wanita warga Filipina yang berumur antara 25 hingga 33 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa bekerja di sebuah pusat hiburan di bandar Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam
Beliau berkata kedua-dua suspek telah ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan polis.