SANDAKAN : Program Gotong-Royong Komuniti membersihkan pantai di Pulau Libaran telah memasuki tahun ke-sembilan penganjuran sejak dilancarkan pada tahun 2014 bagi konservasi penyu di pulau itu.
Presiden Friends of Sea Turtles Education & Research (FOSTER), Alexander Yee berkata program itu telah menerima sokongan daripada pelbagai pihak sejak ia mulai dilancarkan sehingga hari ini.
Katanya, pada tahun ini pihaknya menerima tajaan dana melalui gotong-royong komuniti daripada Sabah Ports Sdn Bhd dan Sabah Tourism Board.
Katanya sebagai penaja utama, satu pasukan dari Sabah Ports Sdn Bhd diketuai oleh Pengurus Besar, Siti Noraishah Azizan telah menyertai gotong-royong itu pada Ahad lepas dalam usaha mewujudkan kerjasama lanjut bersama FOSTER dalam projek konservasi marin.
“Kejayaan program hari ini adalah hasil usaha dan sokongan daripada pelbagai pihak kepada FOSTER terutama dalam aktiviti berkaitan konservasi dan pemulihan spesis penyu yang mendarat di Pulau Libaran.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan sesiapa yang mahu menyumbang kepada kelestarian aktiviti membersihkan pantai di Pulau Libaran. Sokongan ini akan membantu melindungi sepsis penyu sekaligus menolong penduduk kampung yang secara sukarela membersihkan kawasan pantai,” katanya.
Kejayaan program gotong-royong itu dapat dilihat apabila lebih 43,000 anak penyu telah dilepaskan ke laut dari pantai Pulau Libaran sejak program itu dilaksanakan sembilan tahun lalu.
Sebagai sebahagian daripada program konservasi penyu yang ditubuhkan menerusi perjanjian persefahaman selama lima tahun bersama Jabatan Hidupan Liar pada Julai 2013, FOSTER telah terlibat dalam menyediakan tempat penetasan di Pulau Libaran pada 2012.
Program itu termasuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan penduduk setempat dan pelawat mengenai nilai konservasi penyu laut, menjalankan projek penyelidikan untuk lebih memahami kitaran hidup penyu laut di kawasan Pulau Libaran dan menyediakan program penyelidikan bagi penyu laut kepada pelajar dalam dan luar negara. Perjanjian persefahaman itu telah dilanjutkan pada Ogos 2018.
Pada tahun depan, FOSTER bersama Sabah Ports Sdn Bhd akan memulakan projek konservasi dua tahun meliputi konservasi penyu, pembersihan laut dan inisiatif air bersih.
Menurut Siti Noraishah, perlindungan biodiversiti marin menjadi teras utama bagi Sabah Ports Sdn Bhd menjadi ukuran kelestarian yang merangkumi perlindungan jangka masa panjang dan konservasi habitat marin yang kirital.
“Ke arah itu, kami berhasrat untuk bekerja dengan FOSTER untuk melancarkan program yang boleh memberi impak kepada hidupan marin di Pulau Libaran,” jelasnya.
Menurutnya kolaborasi itu akan meneroka lanjut peluang-peluang yang berpotensi dalam eko pelancongan khususnya mengintegrasikan masyarakat untuk menjadi pemacu utama dalam inisiatif konservasi dan menyediakan peralatan yang diperlukan oleh penduduk pulau untuk menjana mata pencarian berkaitan eko pelancongan.
Beliau berkata Sabah Ports Sdn Bhd menggalakkan industri dan individu perseorangan untuk menyokong FOSTER sebagai komitmen kolektif untuk membina masa depan yang lebih mampan serta mengambil peranan aktif dalam perlindungan biodervisiti marin Sabah.