Ahli Majlis MPS digesa bersama rakyat Sandakan dalam isu kenaikan cukai pintu

SANDAKAN: Ahli Majlis Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) seramai 25 orang digesa untuk berdiri bersama rakyat Sandakan berhubung isu kenaikan kadar cukai pintu.

Presiden Persatuan Masyarakat Tionghua Bersekutu Sandakan Datuk Edward Khoo Get Ngian berkata sebagai Ahli Majlis, mereka adalah suara di MPS yang mewakili rakyat.

Katanya dalam masa yang penting ini, mereka sepatutnya mendesak MPS untuk menangguhkan pelaksanaan tersebut, sekurang-kurangnya buat masa ini.

“Keputusan MPS untuk menaikkan kadar cukai pintu bermula tahun depan telah menerima bantahan keras daripada pemilik hartanah di Sandakan,” katanya di sini.

Beliau berkata, kelembapan ekonomi yang dihadapi rakyat pada ketika ini menjadi antara punca pelaksanaan kadar cukai pintu baharu perlu ditangguhkan.

Katanya sebarang langkah untuk menaikkan kadar cukai pintu perlu mengambil kira kesannya kepada komuniti secara keseluruhan.

Keputusan MPS yang mahu melaksanakan kadar cukai pintu baharu bermula Januari 2024 telah menerima maklumbalas negatif daripada penduduk setempat.

Rata-rata penduduk berpendapat pelaksanaan cukai pintu baharu itu tidak sesuai pada masanya selain mereka mengadu tahap perkhidmatan MPS yang tidak setimpal dengan cukai pintu dikenakan pada ketika ini.