SPRM akui kesungguhan Sabah banteras rasuah, kukuhkan governans dan budayakan integriti – Azam

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha membanteras gejala rasuah, pengukuhan governans dan pembudayaan integriti di negeri ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri berkaitan ketiga-tiga perkara itu memberi gambaran yang jelas komitmen kerajaan negeri yang setakat ini belum pernah dibuat mana-mana kerajaan negeri yang lain.

Katanya atas saranan pihak SPRM, Ketua Menteri Sabah mengeluarkan Arahan YAB Ketua Menteri No 1 Tahun 2023 berhubung Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) dalam Pentadbiran Negeri Sabah yang diharap akan menjadi pemangkin bagi kecemerlangan tadbir urus yang berintegriti dilaksanakan dengan cekap dan efektif ke arah mencapai Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Setakat diketahui, tidak ada arahan seumpama ini dikeluarkan oleh mana-mana negeri berhubung dengan pemantapan GIA.

“Ini menunjukkan iltizam dan kesungguhan berterusan Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha-usaha pembanterasan gejala rasuah, pengukuhan governans dan pembudayaan integriti di negeri Sabah dengan lebih cekap dan efektif. Tahniah saya ucapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2023 (KITA 2023) anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan SPRM, di sini, hari ini.

Konvensyen dua hari sehingga esok itu dihadiri kira-kira 2,000 peserta yang terdiri daripada Ketua Unit Integriti Agensi Awam Persekutuan dan Kerajaan Negeri dari seluruh negara bagi membincangkan isu berkaitan governans, integriti dan antirasuah (GIA).

Azam berkata kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan SPRM dalam memperkasakan usaha pencegahan rasuah di Negeri Sabah tidak terhad kepada penganjuran program atau aktiviti seperti KITA semata-mata.

“Sebagai contoh, saranan SPRM kepada Kerajaan Negeri Sabah semasa sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Tahun 2021 (HARA) peringkat Negeri Sabah supaya Unit Integriti Negeri Sabah (UINS) dinaiktarafkan sebagai sebuah Bahagian telah diambil tindakan segera dan dijenamakan sebagai Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS).

“Saya juga dimaklumkan saranan SPRM supaya penubuhan dan fungsi BIGoNS sebagai entiti induk dalam mengawal selia pengurusan governans, integriti dan antirasuah di Pentadbiran Negeri Sabah diperincikan melalui satu pekeliling juga telah diambil tindakan lanjut melalui Pekeliling Integriti Perkhidmatan Negeri Sabah (PIPANS) Bilangan 1 Tahun 2023 bertarikh 3 Julai 2023,” katanya.