KOTA KINABALU : Tiada sebarang kejadian tanah runtuh dilaporkan menuju ke Bandaraya Kota Kinabalu yang didakwa berpunca dari kawasan Jam Atkinson di Ibu Negeri seperti yang ditularkan.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Junainah Abbie berkata segala aktiviti di tapak berkenaan adalah terkawal dan dipantau oleh juruperunding yang dilantik.
Katanya DBKK selaku pelaksana bagi projek tersebut ingin memaklumkan bahawa projek tersebut telah dimulakan sejak tahun 2021 dan cadangan reka bentuk untuk pengindahan tempat tersebut telah mengambil kira komen dari pihak agensi yang berkenaan dan Pelan Pembangunan telah pun diluluskan pada tahun 2022.
Kerja-kerja di kawasan sekitar Menara Jam Atkinson adalah kerja-kerja pengindahan lanskap, pembinaan tandas awam, pondok informasi pelancong dan tidak melibatkan kawasan berpagar struktur Menara Jam Atkinson, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau berkata orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan keadaan panik kepada masyarakat.
Sebarang aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK di talian 012 2220220 (WhatsApp).