Peruntukan untuk Pertubuhan Peladang di Sabah, Sarawak perlu disalurkan terus mulai tahun depan

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mencadangkan agar peruntukan untuk Pertubuhan Peladang di Sabah dan Sarawak disalurkan terus kepada kedua-dua negeri mulai tahun depan berbanding melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ketika ini.

Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata pendekatan itu sejajar dengan kesungguhan kerajaan persekutuan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan keperluan Sabah dan Sarawak dapat dipenuhi.

Katanya, usul mengenai kaedah penyaluran peruntukan kepada kedua-dua negeri Borneo itu diputuskan sebulat suara oleh perwakilan ketika Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah yang diadakan pada Jumaat lalu.

“PPN Sabah baru selesai Mesyuarat Agung Tahunan pada Jumaat lalu yang mana semua perwakilan dari 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan PPN mengusulkan bahawa bermula tahun depan semua peruntukan kepada Sabah dan Sarawak haruslah diberi pertimbangan untuk diberikan terus kepada PPN negeri itu sendiri berbanding sekarang dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Ini sejajar dengan komitmen kerajaan seperti disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan menimbangkan apa saja untuk Sabah dan Sarawak sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah, di sini.

Beliau berkata, penyaluran peruntukan secara terus kepada PPN Sabah dan Sarawak dapat memastikan bantuan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan disalurkan dengan lebih cepat agar manfaatnya dapat dinikmati segera oleh golongan sasar.

Katanya, Perdana Menteri pasti memahami keperluan golongan peladang, penternak dan nelayan lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak yang sememangnya memerlukan lebih banyak pembelaan dalam usaha menaikkan taraf hidup mereka.

Menerusi penyaluran terus peruntukan itu, katanya, golongan peladang, penternak dan nelayan di Sabah dan Sarawak dapat menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan dengan lebih cepat berbanding melalui NAFAS yang dilakukan ketika ini.

Disamping itu, katanya, ia dapat menjimatkan belanja kerajaan dari segi kos logistik penghantaran input dari Semenanjung.

“Kita juga akan menulis surat kepada Perdana Menteri dan kita yakin beliau akan memberi pertimbangan terhadap perkara ini.

“Kalau ini terlaksana, ia akan mempercepatkan bantuan turun kepada masyarakat yang menerimanya kerana ia dibuat dan diproses di Sabah dan Sarawak sebelum dihantar kepada penerima..Jadi, bantuan itu cepat sampai, sekali gus dapat membantu memudahkan usaha kerajaan melaksanakan penyaluran bantuan,” katanya.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah Kali Ke-35 Tahun 2023 yang diadakan pada 13 Oktober lalu, beberapa usul diluluskan perwakilan dalam menambah baik keberkesanan badan berkenaan di negeri ini.

Antaranya, memohon kepada kerajaan, melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menganugerahkan pelaksanaan kerja Kontrak Pembekalan Baja dan Racun di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) serta Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB) di Negeri Sabah kepada PPN Sabah.

Ia bagi membolehkan kerja pengedaran input kepada petani berdaftar di Sabah dilaksanakan sendiri oleh PPN Sabah bersama 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Sabah dan tidak lagi diberi kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang berpangkalan dan diuruskan di Semenanjung Malaysia.

Menerusi usul itu, kaedah pengurusan dan pelaksanaan pengedaran peruntukan untuk petani Sabah dilaksanakan sendiri secara berpusat oleh organisasi dari Sabah bagi menepati selain bersesuaian dengan MA 63.

Sementara itu, Mohd Nazri menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu sebagai belanjawan yang baik dan besar manfaatnya kepada masyarakat termasuk ahli Pertubuhan Peladang di Sabah.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin terhadap masyarakat peladang, penternak dan nelayan. Dengan sumbangan yang besar dalam belanjawan tahun depan, kita yakin banyak manfaat dapat dinikmati golongan peladang, penternak dan nelayan dalam semua bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri antara lain menyediakan dana RM 2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan selain RM400 juta untuk melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan.

Peruntukan berkenaan secara tidak langsung memberi manfaat kepada golongan peladang, penternak dan nelayan termasuk di Sabah dan Sarawak.