LABUAN: Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) menyambut baik pengecualian cukai pendapatan penuh kepada entiti yang terlibat dalam aktiviti kewangan Islam untuk tempoh lima tahun bermula tahun taksiran 2023.
Ia diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru baru ini.
Ketua Pengarah Labuan FSA Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, insentif cukai itu bukan saja untuk merangsang aktiviti kewangan Islam di Pusat Pernbiagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) tetapi juga sebagai tepat pada masanya untuk menyokong pembangunan hab kewangan Islam untuk berkembang maju.
Beliau berkata, ini termasuklah dalam bidang perbankan digital Islam, bursa digital Islam, syarikat berkaitan umrah (ULC) dan penerbit token Islam, termasuk aset digital Islam atau dikenali sebagai RAMZ dalam bahasa Arab.
“ULC yang layak untuk insentif cukai itu merangkumi entiti Labuan yang terlibat dalam aktiviti kewangan sosial Islam dan aktiviti simpanan untuk haji, dana pencen hinggalah kepada kutipan zakat global dan dana wakaf untuk masyarakat Islam global” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, katanya, rangka kerja untuk ULC akan dimuktamadkan bagi menarik lebih ramai peserta menawarkan perkhidmatan kewangan Islam pada skala global, khususnya kepada pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan.
Katanya, Labuan FSA merakamkan penghargaan terhadap insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi menyokong aktiviti kewangan Islam di Labuan IBFC.
“Insentif cukai ini akan memberi dorongan tambahan untuk memajukan insentif Pusat Digital Islam (IDAC ) Labuan yang diperkenalkan oleh Labuan FSA pada bulan Oktober lalu,” katanya.
Nik Mohamed berkata, dalam Pelan Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026 telah mengariskan IDAC berfungsi sebagai geerbang digital yang berperanan dalam aktiviti pengumpulan dana dan mengkhususkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus dan usaha niaga patuh syariah.