Kerajaan komited bantu pesara Tentera di Sabah – Nizam

TAWAU : Kerajaan negeri komited sentiasa membantu pesara menerusi penyaluran dana kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setiap bantuan disalurkan ini membolehkan PVATM dapat menggerakkan program bermanfaat kepada seluruh ahli mereka.

Nizam ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, setiap tahun bantuan khas berjumlah RM2,000 disalurkan  kepada PVATM Cawangan Tawau melalui peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Apas.

“Ini merupakan komitmen saya menghargai bekas pesara tentera dalam mereka menjaga keamanan negara ketika bertugas bersama pasukan dahulu.

“Saya sentiasa membantu persatuan ini untuk menjayakan pelbagai aktiviti dianjurkan sekali gus memenuhi setiap jemputan hadir merasmikan majlis PVATM Cawangan Tawau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Tawau kali Ke-34, di sini semalam.

Nizam berkata, komitmen merupakan sebagai penghargaan segala jasa pesara tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh pihak luar.

“Kita menyeru agar semua

PVATM Tawau ini agar terus menyokong kepimpinan mereka sama ada di peringkat negeri atau cawangan.

“Sokongan ahli sangat penting bagi melancarkan setiap perancangan dan program dirancang oleh PVATM,” jelas Nizam.

Menurutnya, semua ahli perlu bersatu padu serta menyokong segala agenda persatuan terutamanya yang melibatkan kebajikan ahlinya.

Hadir sama, Yang Dipertua PVATM Sabah, Ruhimin Jaafar serta Ketua Cawangan PVATM Tawau, Julyadi Mattuju.