Semakin ramai remaja berminat Al – Quran

KOTA KINABALU: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah merupakan salah satu usaha untuk menghidupkan cahaya wahyu Allah SWT di tengah-tengah kehidupan.

Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, Al-Quran adalah petunjuk di dalam kehidupan yang tidak ternilai harganya.

“Tema yang diangkat iaitu ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ adalah sangat relevan dengan semangat kita, untuk membangunkan masyarakat berlandaskan nilai-nilai Islam yang sejati. Al-Falah bermaksud kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki.

“Dalam hubungan ini, kejayaan yang dimaksudkan bukan sahaja dalam konteks duniawi, malahan meliputi tuntutan ukhrawi,” katanya di Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sempena Majlis Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kejayaan itu tercapai apabila masyarakat Islam hidup menurut tuntunan wahyu illahi dan sunnah nabi. 

Katanya, kejayaan itu juga yang menjadi asas kepada pembangunan sebuah kerajaan yang adil, bermoral dan berupaya membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

“Semoga Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri ini menjadi cahaya hidayah yang menerangi hidup dan mendorong kita untuk terus berusaha membangun masyarakat yang lebih baik, adil dan harmoni.

“Melalui majlis ini, juga kita turut diingatkan, bahawa Al-Quran adalah sumber inspirasi untuk mencapai kejayaan, sebagai motivasi untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan, seterusnya menjadi cahaya hidayah yang menerangi kehidupan manusia.

“Marilah kita berdoa kehadrat Allah SWT, semoga kita dikurniakan kekuatan untuk mengamalkan ajaran Al-Quran seterusnya berusaha membangunkan negeri dan negara ini berteraskan nilai-nilai Islam yang membawa kebaikan dan pemangkin perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa sukacita kerana semakin ramai golongan remaja atau pelajar kita yang berminat dengan pengajian al-Quran. 

Menurutnya, bilangan Pusat Tahfiz Al-Quran kelolaan orang perseorangan dan swasta, juga semakin meningkat.

“Perkembangan yang positif ini, lambat laun akan melahirkan generasi yang cakna Al-Quran. Generasi inilah juga, yang nantinya menjadi pemangkin kepada ‘revival’ kegemilangan Islam, sebagai satu cara hidup yang komprehensif,” katanya.

Selaras dengan aspirasi itu katanya, beliau mengharapkan agar golongan huffaz di Negeri ini, tidak berhenti setakat berjaya menghafal ayat-ayat suci al-Quran sahaja.

Katanya, para huffaz yang sudah memiliki kemahiran asas menghafal al-Quran sewajarnya memberi nilai tambah dengan menggali potensi diri. 

“Mereka juga mestilah berupaya untuk menghayati dan meneliti secara mendalam ayat-ayat suci Al-Quran yang terhidang dalam 30 juzuk dan 114 surah itu. 

“Hikmahnya adalah, untuk membolehkan golongan huffaz berada di barisan hadapan dalam konteks memelihara dan memartabatkan kesucian dan keagungan al-Quran. 

“Malahan, apa yang lebih mendesak di zaman yang penuh cabaran ini ialah, melaksanakan serta menterjemahkan sepenuhnya ajaran al-Quran, agar umat Islam khususnya di negeri ini, berupaya mengukir tamadun dan kemajuan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa akan datang,” katanya.