KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak pernah berhenti untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam tempoh minggu ini beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Linaco dan Sawit Kinabalu bagi pembinaan sebuah Kilang Pemprosesan Kelapa Bersepadu bernilai RM200 juta di Langkon, Kota Marudu.
Katanya, Sabah merealisasikan pengambilalihan 50 peratus kepentingan penyertaan di dalam PSC Samarang dengan termeterai perjanjian dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), pada jumaat lalu.
“Ini antara usaha berterusan untuk memastikan lebih banyak pembangunan di bawa ke negeri ini. Saya berasa teruja melihat usaha Kerajaan Negeri untuk membawa kemajuan dan pembangunan kepada negeri ini dan rakyat telah menunjukkan kemajuan. Ini adalah sebahagian daripada bukti yang dapat kita rasa dan banggakan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Hajiji berharap RTM akan terus membantu menyampaikan maklumat dan agenda kerajaan kepada rakyat, termasuklah insiatif pembangunan iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya perkara ini sangat penting agar RTM dapat menyampaikan agenda pembangunan kerajaan ke seluruh pelusuk negeri ini, agar rakyat tahu apa yang kerajaan sedang serta akan laksanakan.
“Saya berharap RTM sama ada menerusi siaran radio atau televisyen terus memberi maklumat yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ, apa yang telah dan sedang dilaksanakan. Kita mahu semua rakyat tahu apa maklumat yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ ini.
“Agenda Sabah Maju Jaya kini berada di landasan yang tepat untuk membawa pembangunan kepada rakyat dan negeri sejak dilancarkan pada Mac 2021. Kita telah menerima banyak pelaburan asing dan juga domestik, sejak dua tahun lalu,” katanya.