Keputusan Johair sudah dijangka, tidak jejas kedudukan parti KDM dalam gabungan Kerajaan Perpaduan – Gaim

KOTA KINABALU: Tindakan Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Johair Matlani yang mengumumkan meninggalkan parti itu semalam tidak menjejaskan kedudukan parti KDM dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung parti KDM, Dr Gaim Lungkapis berkata, beliau telah maklum lebih awal berhubung perkara itu selepas Johair sendiri memberitahu hasrat beliau untuk meletak jawatan dengan alasan menghadapi masalah keluarga.

“Saya ingat pihak atasan parti KDM juga maklum awal keadaan beliau kerana sebelum ini beliau pernah menyuarakan masalah keluarga yang sangat kritikal.

“Ini termasuk kedudukan rumah mereka yang akan dilelong namun parti KDM telah membantu mereka untuk menyelesaikan hutang berkenaan secara berperingkat,” katanya di sini, hari ini.

Gaim berkata, parti KDM sedar yang mereka kini tidak mempunyai sebarang jawatan dalam negeri namun mereka percaya ia hanya bersifat sementara.

“Saya percaya ini cumalah bersifat sementara dan yakin parti KDM akan beroleh kemenangan di kawasan-kawasan yang dipilih seterusnya akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Negeri kelak.

“Apa pun kami menerima perletakkan jawatan beliau secara baik dan ia tidak akan mengugat kedudukan parti KDM pimpinan yang dipimpin Datuk Presiden (Peter Anthony) dan Datuk Timbalan Presiden (Wetrom Bahanda).

“Sudah menjadi lumrah dalam politik, pemimpin datang dan pergi (daripada sesebuah parti), parti KDM mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau (Johair), apa yang penting kekuatan dan perjuangan kita tidak akan goyah, parti ini (KDM) akan terus berjuang untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, Johair semalam mengumumkan keluar daripada parti KDM dan menyatakan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu majlis yang diadakan di salah sebuah hotel di Beaufort yang turut dihadiri Ketua Bahagian GRS Beaufort Datuk Isnin Aliasnih.

Ketika mengumumkan perkara itu, Johair turut mengucapkan terima kasih kepada Peter kerana kesungguhannya dalam menempatkan parti KDM bersama barisan parti-parti di Sabah serta di persekutuan.

“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada presiden parti KDM dan seluruh keluarga besarparti KDM kerana memberi kepercayaan selama ini,” katanya.

Sementara itu, Gaim mengulangi pendirian bahawa parti KDM akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pendirian kita kekal dan jelas, iaitu terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju Kerajaan Perpaduan ini,” kata Gaim.