Kepimpinan GRS mesti bergerak ke hadapan dengan semangat dan keyakinan diperbaharui

KOTA KINABALU: Kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti bergerak ke hadapan dengan semangat dan keyakinan yang diperbaharui, memperkukuh barisannya termasuk dalam sayap belia dan wanita.

Timbalan Ketua Menteri , Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata lebih penting lagi memerlukan transformasi dalam pemikiran politik semasa, membentuk semula strategi pembangunan dan mengukuhkan hubungan dengan rakan sejawat Borneo.

Katanya dalam hal ini, momentum yang menyelubungi Perjanjian Malaysia (MA63) dan hak negeri-negeri Borneo dalam Malaysia bukan sahaja mesti dikekalkan tetapi juga dipergiatkan.

“Ini memerlukan keputusan yang berani mengenai isu-isu penting, termasuk menjaga 40 peratus hak hasil kita, menegaskan hak kita ke atas sumber minyak dan gas, nenegaskan semula status Sabah dan Sarawak, mencadangkan 16 September sebagai Hari Kebangsaan sambil mengiktiraf 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Malaya.

“Meningkatkan kepentingan Hari Sabah dan Hari Sarawak untuk menekankan perpaduan Negeri-Negeri Borneo,” katanya pada ucapan Tahun Baharu 2024.

Jeffery yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata Pemimpin politik mesti menggunakan kuasa mereka dengan tegas, terutamanya dalam menangani rintangan birokrasi, melibatkan diri secara lebih tegas dengan pelabur asing dan berusaha untuk meningkatkan daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita semasa.

Katanya Kemajuan Sabah bergantung kepada keupayaan untuk meningkatkan keupayaan kewangan dan hasil dan untuk memupuk perpaduan politik yang lebih erat.

“Semasa kita memulakan Tahun Baharu ini, marilah kita bersatu dalam azam untuk melihat aspirasi ini direalisasikan. Marilah kita melangkah ke tahun yang ditandai dengan kemajuan, perpaduan, dan kemakmuran bersama,” kata Jeffery yang merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).