Pesara tentera maut kenderaan MPV terbabas

KOTA KINABALU : Seorang pesara tentera maut apabila kenderaannya terbabas berhampiran Stesen Minyak Putatan di Jalan Papar – Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton dalam satu kenyataan berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan telah menerima laporan polis mengenai kejadian itu.

Katanya, kejadian melibatkan kemalangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berlaku lebih kurang pukul 7.53 malam, semalam.

Menurut beliau, hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian, kemalangan dipercayai berpunca daripada kenderaan dipandu mangsa yang telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan menghala ke Kota Kinabalu.

Jelasnya, mangsa yang berumur 56 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Katanya, seorang penumpang di tempat duduk hadapan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

Menurutnya les disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat kemalangan untuk membantu siasatan selain meminta orang ramai agar tidak menyebarkan gambar di lokasi kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga.