MENUMBOK: Terdapat keperluan untuk membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat di Daerah Kecil Menumbok bagi mempercepatkan pemadaman api sekiranya berlaku kebakaran dan bencana alam.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching berkata, walaupun terdapat sebuah balai Bomba di daerah Kuala Penyu, namun jarak perjalanan antara daerah itu ke daerah kecil Menumbok mengambil masa lama.
Katanya, ini kerana jaraknya jauh menyebabkan usaha pentas untuk membantu sekiranya berlaku kebakaran gagal dilakukan.
“Sebilangan rumah penduduk tempatan di sini dibina berdekatan, sebahagianya dibuat dari papan seperti di kampung Laut Menumbok dan apabila berlaku kebakaran api cepat merebak.
“Jika kita ada Balai Bomba di sini usaha awal memadam apa dapat dilakukan bagi mencegah api merebak ke rumah lain,” katanya ketika meninjau mangsa kebakaran di Kampung Menangah, semalam.
Beliau bersama Penolong Pegawai Daerah kecil Menumbok Abdul Karim Zahari menziarahi lima keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah minggu lalu di kampung itu.
Dalam kejadian tersebut sebanyak lima rumah berhampiran musnah dalam kebakaran tersebut
Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort beliau akan memohon kepada Kementerian Permbangunan Kerajaan Tempatan untuk membina sebuah balai Bomba di daerah kecil Menumbok .
“Pembinaan Balai Bomba ini merupakan satu keperluan mendesak bagi penduduk di kawasan ini,” katanya
Dalam pada itu, Aminah berharap komuniti setempat khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung di kawasan masing-masing dapat menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi menghidupkan kembali amalan kesukarelaan dalam kalangan masyarakat bukan sahaja untuk kes-kes kebakaran namun boleh diguna pakai untuk kes-kes kemalangan yang lain.
“Kerajaan menggalakkan penubuhan (PBS) di setiap kampung selain fungsinya menggerakkan persiapan awal menangani kebakaran sebelum jentera tiba di lokasi ianya juga dapat memupuk semangat kesukarelaan dan kerjasama di kalangan penduduk setempat,” katanya.
Bersimpati dengan nasiplb yang menimpa lima keluarga ini, Aminah berharap mereka tabah dan bersabar menerima dugaan tersebut seterusnya menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga yang terlibat.