ADUN Sindumin perlu lihat diri sendiri sebelum menunding jari kepada orang lain – Jeffrey Nor

ADUN Sindumin perlu lihat diri sendiri sebelum menunding jari kepada orang lain – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob perlu ‘Lihat Diri Sendiri’ tersebut dahulu sebelum menunding jari kesalahan kepada orang lain.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, secara umum mengetahui Yusof dilantik selaku Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) oleh Ketua Menteri pada 12 Januari lalu berikutan telah menyokong Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Menurutnya, sejurus selepas itu Yusof memohon dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekali gus dilantik menjadi Ketua Bahagian parti itu di Sindumin.

“Ini sudah terang lagi bersuluh..bukankah ini menunjukkan bahawa kamu sendiri adalah bukti besar pelantikan politik?

“Saya cukup terkilan dengan kenyataan beliau, (Yusof) bahawa Ketua-Ketua Bahagian UMNO diantik sebagai Penyelaras Pusat Giat Mara baru-baru ini.

“Ingin saya jelaskan di sini bahawa pelantikan ini merupakan satu amanah yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menjaga serta membangunkan kawasan-kawasan di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jeffrey Nor merupakan Ketua Bahagian UMNO Putatan mengulas kenyataan Yusof ketika membahaskan Belanjawan 2024 Negeri Sabah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini semalam.

Menurut Jeffrey Nor, pelantikan ini merupakan satu amanah serta bukan satu habuan mahupun sogokan tetapi adalah satu tanggungjawab besar untuk memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terjaga.

“Saya berpendirian sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Suhaimi Nasir agar ADUN Sindumin menarik balik kenyataan itu.

“Kenyataan dibuat oleh YB Sindumin merupakan satu fitnah..dan tidak sepatutnya dibawa pada perbahasan di DUN,” jelas Jeffrey Nor.