LABUAN: Kelab Wanita Sejahtera Labuan menyerahkan sumbangan Tabung Kamanusiaan Rakyat Palestin sebanyak RM53,285.02 sen kepada Akaun Amanah Kemanusian Rakyat Palestin (AAKRP) di Bangunan Parlimen, semalam.
Pada majlis itu, Pengerusi Kelab Wanita Sejahtera Labuan Niswati Tarji bersama Ketua Bahagian UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan menyerahkan sumbangan itu kepada wakil AAKRP Akmal Zharif Ahmad Kamal yang disaksikan oleh Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, berkata Kelab Wanita Sejahtera Labuan dengan kerjasama UMNO Bahagian Labuan telah melancarkan Tabung Kemanusian Rakyat Palestin menerusi Program Podcast Masa Rehat (MR) pada hujung bulan Oktober lalu.
Katanya, tabung berkenaan dilancarkan sebagai usaha membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza oleh rejim Israel.
Mohd Rafi berkata bagi pihak Kelab Wanita Sejahtera Labuan mengucapkan terima kasih kepada warga Labuan yang bukan sahaja sama sama menyumbang untuk membantu rakyat Palestin tetapi juga sama sama bersolidariti bagi menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Saya bagi pihak Kelab Wanita Sejahtera Labuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin dan semoga usaha ini dapat membantu meringankan kesengsaraan rakyat Palestin di bumi Gaza,” kata Mohd Rafi.