Kementerian Kerajaan Tempatan serah 18 lori kepada 11 PBT di Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) menyerahkan 18 lori kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk meningkatkan produktiviti kerja pembersihan di kawasan masing-masing.

PBT terbabit ialah Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Keningau, Majlis Daerah Ranau, Majlis Daerah Kuala Penyu, Majlis Daerah Sipitang, Majlis Daerah Beluran, Majlis Daerah Telupid, Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Beaufort dan Majlis Daerah Kota Marudu.

Timbalan Ketua Menteri II selaku Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, lori terbabit digunakan untuk mengangkut sampah dari kawasan kediaman ke tempat pelupusan sampah.

Katanya, pemilihan PBT yang diberikan lori berkenaan dibuat berdasarkan keperluan mendesak seperti berdepan kekangan aset untuk melaksanakan operasi pembersihan.

“Saya mewakili kementerian mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan berharap dapat menambah lagi peruntukan dalam agihan pada tahun depan.

“Dengan adanya peruntukan yang mencukupi, maka pembelian kenderaan seperti lori boleh ditambah lagi bagi diedarkan ke PBT yang lain berdasarkan permintaan PBT yang meningkat,” katanya pada majlis penyerahan kenderaan terbabit, di sini, semalam.

Katanya, ia seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggariskan usaha kerajaan ke arah memastikan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan kemudahan seperti lori untuk kegunaan PBT.

Dr Joachim berkata, penyediaan lori kepada PBT itu juga sejajar dengan  Pelan Strategik 2021-2025 digariskan kementeriannya iaitu meningkatkan kemudahan logistik di semua PBT Sabah.

“Justeru, pihak kementerian melalui Sektor Pembangunan: Bahagian Pengurusan Sisa Pepejal akan terus membantu PBT di seluruh negeri bagi meningkatkan kecekapan operasi masing-masing,” katanya.

Beliau turut berharap agar semua Pegawai Eksekutif PBT dapat memastikan lori yang diberikan itu digunakan sepenuhnya dengan efisien dan efektif bagi memberi manfaat kepada penduduk di daerah masing-masing.

Katanya, pada masa akan datang, kementerian juga bercadang untuk menggunakan sistem pengesan GPS pada setiap lori untuk meningkatkan sistem pengurusan kenderaan.