TUARAN: Kerajaan negeri memberi jaminan akan memastikan semua kaum termasuk masyarakat Cina di Sabah diberi peluang untuk sama-sama membangunkan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ia adalah antara perkara penting yang diberi perhatian selepas beliau mengetuai kerajaan negeri sejak kira-kira tiga tahun lalu.

“Apabila saya menjadi Ketua Menteri, saya lihat di mana keperluan seluruh masyarakat termasuklah masyarakat Tionghua dan bukan Islam. Kita beri peruntukan tahunan yang besar,” katanya pada sambutan Pesta Tanglung 2023 di Dewan Seri Sulaman, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri mengalu-alukan aktiviti seperti Pesta Tanglung yang boleh menguatkan lagi semangat kekitaan dan bertolak ansur dalam masyarakat.
Justeru, katanya, kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada semua kaum meraikan perayaan masing-masing, di negeri ini.
“Ia bagi memastikan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang kita dapat diwarisi anak- anak muda dan dalam masa sama tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
Hajiji juga berharap acara itu akan dilihat sebagai satu lagi jambatan ke arah memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini, sesuai dengan semangat Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri.
“Sabah sememangnya unik kerana dalam sebuah keluarga besar pasti mempunyai pelbagai agama dan kaum namun tetap utuh sebagai sebuah keluarga.
“Justeru, saya meminta rakyat Sabah supaya terus mengekalkan semangat harmoni tanpa mengira kaum dan agama serta raikanlah setiap perayaan bersama-sama,” katanya.
Ketua Menteri turut berasa gembira kerana Pesta Tanglung bukan saja disambut oleh mereka yang berketurunan Cina malah turut dimeriahkan oleh pelbagai suku kaum lain di negeri ini.
“Ini menunjukkan kaum lain juga berminat untuk sama-sama memeriahkan pesta ini. Selain perayaan Tahun Baharu Cina, Pesta Tanglung juga adalah acara yang sangat penting bagi masyarakat Cina di negara ini.
“Kita sangat bersyukur kerana Malaysia kaya dengan pelbagai budaya dan tradisi, khususnya di Sabah, negeri kita yang tercinta,” katanya.
Beliau berharap masyarakat Tionghua dan rakyat secara keseluruhannya sentiasa bersama kerajaan untuk membangunkan negeri ini.
Sebanyak 17 kontinjen daripada dan pelbagai persatuan sekitar daerah ini menyertai pertandingan Pesta Tanglung berkenaan.