KOTA KINABALU: Tidak ada alasan untuk kekuatan dan perpaduan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi goyah.
Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata, sebagai tunggak utama kerajaan negeri, pihaknya memberi jaminan sokongan yang tidak berbelah bahagi terutama kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Beliau menekankan perkara ini selepas mengadakan kunjungan Hari Raya kepada Hajiji bersama Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Radin Malleh, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr. Yee Moh Chai; Naib Presiden PBS Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan Setiausaha Agung PBS Datuk Joniston Bangkuai di sini semalam.
Katanya, semasa kunjungan itu, pihaknya membincangkan banyak isu berkaitan GRS, hal ehwal pentadbiran dan kerajaan negeri khususnya COVID-19 dan ekonomi.
“Kami turut meyakinkan beliau (Hajiji), PBS akan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri dan jentera parti akan bekerjasama sepenuhnya untuk pelaksanaan pembangunan dan strategi Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, kenyataannya baru-baru ini disalah tafsir dan mengejutkan beberapa pihak serta sengaja diputar belit untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Tujuan sebenar beliau adalah untuk menyatakan keterbukaan PBS kepada pembangkang terutama Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mencapai matlamat pembangunan bersama demi kebaikan Sabah dan rakyat negeri ini.
“Saya tidak menyatakan lebih dari sekadar menjelaskan keterbukaan untuk bekerjsama. Lagipun, WARISAN yang terlebih dahulu menghulur tangan menjalin persahabatan serta kerjasama dan Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal melakukannya semasa bulan Ramadan iaitu bulan untuk menjalin persahabatan…justeru sewajarnya untuk kami menyatakan sikap yang sama demi persahabatan,” jelasnya.
Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, hanya menerusi kerjasama, persahabatan dan sokongan politik negeri ini akan dapat dibangunkan sepenuhnya.
“Ini tidak bermaksud kita harus membentuk gabungan atau pakatan. Tujuan PBS adalah untuk mengeratkan persahabatan dan kerjasama dengan WARISAN di peringkat Perikatan Nasional (PN).
“Sehubungan itu, dengan sukacitanya saya selaku Presiden PBS menjemput WARISAN untuk mempertimbangkan menyertai PN sama ada sebagai ahli atau rakan kongsi. Kami (PBS) gembira menjadi tuan rumah atau penaja kepada WARISAN untuk menjadi sebahagian daripada gabungan PN, mari bekerjasama dengan kami di bawah PN.
“Selain itu, sukar bagi PBS dan WARISAN untuk membentuk pakatan baharu atau sebarang idea gabungan kerana kami mempunyai identiti dan peranan politik yang berbeza. PBS selalu diketahui memperjuangkan isu-isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), keselamatan rakyat dan pendatang tanpa izin (PTI) yang menjadi identiti parti sejak penubuhannya 36 tahun yang lepas.
“Bersama-sama kita dapat bekerjasama untuk menyebarkan matlamat mulia ini dan memperkukuhkan objektif PN yang lebih luas. Saya yakin WARISAN dapat menyumbang kepada pencapaian aspirasi nasionalnya,” katanya.
SabahNewsToday