Kekalkan identiti serta budaya masyarakat Bajau Samah – Japlin

KOTA  KINABALU : Indentiti warisan bangsa dan budaya masyarakat Bajau Samah perlu dipelihara bagi memastikan kelangsungan etnik peribumi kekal diketahui generasi baharu.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, disamping sedang rancak membangunkan negeri masyarakat diingatkan agar tidak mengabaikan kepentingan adat dan budayanya.

Katanya, ini kerana budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan melambangkan identiti sesuatu bangsa, suku kaum dan etnik untuk terus dipelihara.

“Generasi muda tidak boleh tunduk kepada kepuasan ini. Kita harus memelihara semua ini untuk generasi akan datang.

“Generasi muda perlu mempertahankan keunikan budaya ada sebagai teras kepada keharmonian kaum sejak dahulu lagi,” katanya di sini semalam.

Japlin berkata, beliau berharap supaya persatuan ini dapat terus memelihara dan memartabatkan budaya ini serta mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian sesama kita. 

“Di Kampung Unggun Jaya sudah ada mini dewan Bajau Samah untuk membuat program kebudayaan.

“Sempena bulan kemerdekaan, program kesenian dan kebudayaan ini boleh dijadi contoh kepada pelancongan yang datang berkunjung ke Sabah terutama di Lintasan Deasoka,” jelas Japlin.