KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) menyambut baik cadangan bekas Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 di negeri Sabah.
Menterinya, Datuk Ellron Angin menjelaskan kementerian itu sudah melaksanakan beberapa program yang disebutkan Phoong akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan serta kesesuaian masa dalam tempoh terdekat.
Katanya, setakat ini KBSS sudah menjalankan Bengkel serta Program Khas bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan belia dalam memerangi pandemik Covid-19.
“Banyak lagi program dan aktiviti berkenaan Covid-19 ini sudah kita rancang, tetapi mestilah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memaksa kita berhenti seketika.
“KBSS melaksanakan Bengkel Masyarakat Sihat dan Cergas dalam suasana norma baharu yang mana telah dilaksanakan di empat daerah membabitkan Tuaran, Kudat, Kuala Penyu dan Papar,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Ellron berkata, penganjuran bengkel itu bertujuan memberi kesedaran dalam mendidik masyarakat tentang bahaya serta ancaman Covid-19 kepada manusia sejagat.
“Pengisian program ini melibatkan ceramah berkaitan vaksinisasi Covid-19 serta pelaksanaan SOP oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah selain melibatkan beberapa Kempen Keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta taklimat bahayanya penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.
Sabahnewstoday