Ketam bakau Indonesia RM120,000 gagal masuk Sabah, penyeludup diberkas APMM

TAWAU (Bernama): Tindakan seorang lelaki menyeludup masuk empat tan ketam bakau yang masih hidup dari Indonesia menggunakan bot jongkong gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran muara Sungai Tawau pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, V Siva Kumar, berkata bot dikendalikan suspek berusia 31 tahun itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari negara jiran sebelum dipintas dan diperiksa oleh pasukan yang melaksanakan Op Cegah Pati Selatan pada 8 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan muatan kotak putih berisi ketam bakau hidup yang diseludup masuk selain didapati nombor pendaftaran pada lesen adalah berbeza dengan nombor pendaftaran pada bot,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek juga gagal mengemukakan sebarang permit kebenaran yang sah berkaitan kargo atau muatan yang dibawa dan mengaku menerima upah bagi membawa hasil laut itu daripada pemilik bot.

Siva Kumar berkata, ketika ini prosedur operasi standard perintah kawalan pergerakan tidak membenarkan kemasukan bot atau kapal dari negara jiran sekali gus menghentikan aktiviti import dan eksport hasil laut.

“Pihak kami percaya terdapat segelintir pengusaha mengambil jalan mudah bagi mengaut keuntungan berganda dengan melaksanakan pemindahan hasil laut dari bot asing ke bot tempatan secara sembunyi di kawasan sempadan agar hasil laut tersebut dapat dibawa masuk tanpa melalui prosedur import dan eksport yang sah,” katanya.

Beliau berkata, suspek serta barang rampasan bernilai RM120,000 dibawa ke jeti maritim dan kes disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Akta Perikanan 1985 manakala pemilik bot akan dipanggil untuk memberi keterangan.

SabahNewsToday

Leave a Reply