KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah memungut hasil sebanyak RM2,098,625,366.45 bagi tahun 2022, dapat mempertingkatkan lagi jumlah pungutan hasil pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peranan Kastam penting dalam pembangunan negara berikutan hasil yang dikutip itu disalurkan untuk menjana projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga Kastam Sabah di atas kejayaan memungut hasil bagi tahun 2022. Saya berharap agar jumlah pungutan hasil ini dapat dipertingkatkan lagi bagi tahun 2023 ini.
“Walaupun tahun 2023 merupakan tahun mencabar untuk penjawat awam terutamanya dari segi ekonomi, sebagai pemungut hasil utama negara sudah pasti JKDM akan menempuh pelbagai rintangan dan cabaran ini,” katanya.
Teksnya dibacakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji percaya, selagi warga kastam terus bekerja dengan etika perkhidmatan jabatan iaitu Amanah, Berkhidmat, Ikhlas, Dedikasi (ABID) lebih banyak hasil dapat dikutip kerana slogan ABID juga dapat membantu meningkatkan prestasi dan keunggulan imej JKDM.
Katanya, JKDM layak digelar Wira Ekonomi Negara atas komitmen dalam meningkatkan ekonomi negara, selain telah memainkan peranan yang penting dalam menyediakan fasilitasi dan kemudahan dalam menggiatkan pelabur luar terutama ke Sabah.
Menurutnya, ekonomi gelap (black economy) yang wujud daripada aktiviti penyeludupan yang berleluasa daripada sumber yang menyalahi undang-undang sebuah negara perlu dihapuskan serta merta kerana ia memberi Impak yang negatif kepada negara.