KUALA LUMPUR: Sesi Dewan Rakyat pada Isnin digemparkan dengan persoalan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH – Tuaran) yang mahukan perincian hasil tahunan yang dipungut kerajaan Persekutuan ke atas Wilayah Sabahdibentangkan di persidangan parlimen.
Menurutnya, persoalan itu sudah berkali-kali ditanyakan namun tidak pernah diberitahu secara lisan mahupun bertulis di dalam dewan berkenaan.
“Saya sudah lima penggal berada di dalam dewan yang mulia ini dan apabila perkara ini ditanya, soalan itu tidak pernah dijawab dan kesemua mengelak.
“Jika demikian, saya beranggapan agensi-agensi terlibat yang sepatutnya boleh memberikan maklumat kepada menteri yang berkaitan seperti Auditor General, Jabatan Perangkaan, dan Accountant General sebagai gagal.
“Sebab itu dalam perbahasan kali ini, saya ingin bertanya kepada menteri sekali lagi, nyatakan berapakah sebenarnya hasil setiap tahun. Dan untuk mempermudahkan jawapan, berikan jumlah hasil yang dipungut pada tahun 2022,” tegasnya.
Madius berkata, beliau bersedia untuk menerima jawapan itu secara bertulis.
“Kemudian jawapan hendaklah dinyatakan mengikut perincian setiap perkara, sama ada dalam bentuk cukai, dividen, levi atau dalam bentuk apa sahaja yang dipungut oleh kerajaan persekutuan dari Sabah.
“Untuk makluman, ada andaian yang mengatakan jumlah pungutan hasil daripada Sabah ialah RM30 bilion. Kalau ini benar, 40 peratus daripada pungutan ini adalah RM12 bilion.
“Kalaulah RM12 bilion ini diberikan kepada Sabah setiap tahunseperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Sabah akan mendapat hasil melebih RM10 bilion sehingga hari ini.
“Saya amat yakin dengan RM10 bilion ini, banyak masalah prasarana dan infrastruktur di Sabah dapat diselesaikan,” kata Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) itu lagi.
Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ucapan Penggulungan Bajet 2023 bersetuju agarkementeriannya memberikan jawapan secara bertulis kepada Madius.