Kampung Pulau Sepanggar terima RM1 juta bagi naik taraf kemudahan

KOTA KINABALU: Kampung Pulau Sepanggar menerima peruntukan RM1 jutadi bawah Program Kampung Angkat MADANI (KAM) bagi menaik taraf kemudahan asas dan memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, berkata program itu merupakan inisiatif kerajaan yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 dengan pendekatan Whole of Governmentmelibatkan pelbagai agensi.

Menurutnya, peruntukan tersebut digunakan untuk kerja baik pulih infrastruktur termasuk titian pejalan kaki, pembinaan pondok jeti, naik taraf masjid serta dewan serbaguna.

Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan program kesejahteraan komuniti melalui sumbangan bakul makanan, peralatan keselamatan, kerusi roda serta bantuan kewangan kepada golongan memerlukan.

“Selain itu, SK Pulau Sepanggar turut menerima bantuan di bawah Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) termasuk tujuh Smart Board dan 10 komputer riba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan projek siap KAM di Kampung Pulau Sepanggar.