KUALA LUMPUR: Sebanyak 97.12% atau 21,458 rakyat mahu kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara “one off” melalui kajian awam dibuat Pemuda Umno.
Exconya, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit, berkata hasil kajian dibuat terhadap 21,763 orang secara maya itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob secepat mungkin.
Katanya, kajian awam itu membuktikan rakyat memang benar-benar memerlukan pengeluaran i-Citra.
“Kita bukan buat secara rawak. Dapat sampel akan buat mesyuarat kumpulan bersama biro penyelidik Pemuda Umno,” katanya memetika laporan FMT pada sidang media di Menara Datuk Onn.
Azril berkata, kajian awam itu juga menunjukkan sebanyak 18,777 orang Melayu mahu i-Citra dan selebihnya Bumiputera Sabah dan Sarawak, Cina, India dan lain-lain.
Katanya, dapatan itu turut menunjukkan golongan berumur bawah 50 tahun memerlukan i-Citra, yang mana seramai 10,698 membabitkan mereka antara 35 hingga 44 tahun menyokong pengeluaran i-Citra.
“Bagi umur 25 hingga 34 pula seramai 5,455 sokongan i-Citra dan umur 45-54 seramai 5,150 sokong,” katanya memaklumkan kajian dibuat selama sebulan dari 11 Jan hingga 12 Feb lalu.
Beliau berkata, antara alasan yang mereka nyatakan untuk menyokong pengeluaran i-Citra adalah untuk kelangsungan diri dan keluarga, terkesan dengan banjir, membaiki rumah rosak banjir, pembayaran hutang semasa tertunggak ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) serta membeli buku sekolah anak.
Katanya, hasil kajian itu juga akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.