Kabinet Sabah lafaz Ikrar Bebas Rasuah, SPRM puji komitmen kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan Ahli Jemaah Menteri Negeri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu.

Sejurus melafazkan ikrar, beliau bersama barisan kabinet negeri menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Mohd Fuad menyifatkan pelaksanaan IBR bersama Kabinet Sabah sebagai komitmen positif kerajaan negeri dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus baik.

Katanya, inisiatif itu akan diperluaskan ke kementerian dan agensi di bawah kerajaan negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh.

“Program ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dicegah dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta menyertai IBR bagi memperkukuh budaya integriti di semua peringkat.