Junz Wong ‘menyalak’ tentang projek yang tidak wujud – Nizam

KOTA KINABALU : Dakwaan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tanjung Aru Datuk Junz Wong mengenai kewujudan perjanjian air RM1.5 bilion adalah palsu sekali gus dibuat dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Junz Wong ‘menyalak’ tentang projek yang tidak wujud.

Katanya, dia (Junz Wong) hanya menuduh tanpa asas manakala kenyataannya adalah fitnah dengan niat jahat.

“Projek ini baharu di peringkat cadangan, tanpa komitmen atau kelulusan dari Kerajaan Negeri.

“Surat Niat (LoI) hanya dikeluarkan untuk kajian, bukan untuk menganugerahkan sebarang kontrak,” katanya di sini semalam.

Nizam merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah berkata, hakikatnya syarikat terlibat belum lagi menyelesaikan kajian mereka manakala tiada keputusan akhir yang dibuat.

“Surat niat untuk kajian tersebut  adalah dibiayai oleh syarikat sendiri dan tidak melibatkan dana awam.

“Begitu juga, potensi pembiayaan daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) ini hanya satu kemungkinan jika cadangan tersebut diluluskan,” jelas Nizam.

Menurutnya, setakat ini lantikkan SCC sebagai pemberi pembiayaan Inisiatif Pembiayaan Persendirian atau Private Finance Initiative (PFI) belum dibuat kerana projek ini perlu diluluskan kerajaan terlebih dahulu.

“Junz Wong membuat tuduhan palsu dan sekali lagi merosakkan kredibilitinya sendiri.

“Beliau seharusnya mendedahkan ‘dokumen kukuh’ yang dikatakannya diperoleh dan mengesahkan kesahihannya bukan membuat sebarang kenyataan dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat,” kata Nizam.

Beliau menambah, tindakan  tegas akan diambil terhadapnya termasuk Junz Wong harus bertanggungjawab atas kenyataannya yang palsu, tidak berasas dan berniat jahat.