Juliah santuni anak yatim, asnaf dalam program ‘Shopping Raya’

KOTA KINABALU : Seramai 100 orang anak yatim dan asnaf dari kawasan Parlimen Tuaran disantuni dalam Program ‘Shopping Raya’ bertempat di Servay Hypermarket Inanam di sini hari ini.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri  Juliah Salag merupakan Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menghadiri majlis itu dan penyantuni kanak-kanak tersebut.

Juliah bersama anak-anak yatim dalam program Shopping Raya di sini hari ini.

Anak-anak yatim dan asnaf yang terlibat berusia 12 tahun ke bawah dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiap seorang menerima sumbangan berupa pakaian dan kasut Hari Raya bernilai RM200.

Program itu dianjurkan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan syarikat Kim Teck Cheong (KTC) Consolidated Berhad dengan kerjasama Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Juliah (kanan) membantu kanak-kanak memilih baju raya.

Bercakap kepada pemberita di majlis itu, Juliah berkata, program itu amat bermakna dan memberi keceriaan serta kegembiraan kepada anak-anak yatim dan asnaf menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, kanak-kanak dan keluarga mereka begitu bersyukur dan senang hati apabila dibawa membeli pakaian dan keperluan untuk menyambut Hari Raya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UPPM, KTS dan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat kerana berganding bahu menjayakan program tahunan itu.

Hadir sama, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Awang Kadin Tang, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau dan isteri Datin Yee Tsai Siew dan Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda.