KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri menyalurkan bekalan 100 mesin hemodialisis membabitkan 24 hospital serta satu klinik kesihatan di seluruh negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, jumlah keseluruhan peruntukkan ini berjumlah lebih RM 8.5 juta subsidi untuk membantu pesakit End-Stage Renal Failure (ESRF) mendapatkan rawatan hemodialisis.
Katanya, dibawah peruntukan skim ini merangkumi RM 4.02 juta bagi kos rawatan ESRF manakala RM 4.5 juta bekalan kepada mesin hemodialisis.
“Pelaksanaan Skim Bantuan Kesihatan dibawah SMJ ‘Sabah Sejahtera’ dijangka dapat meningkatkan kadar kelangsungan serta kualiti hidup pesakit ESRF.
“Fasa pertama skim ditumpukan kepada perkhidmatan hemodialisis membabitkan 1,385 pesakit di klinik manakala 797 pesakit dikenal pasti menjalani rawatan kendiri di rumah (CAPD),” katanya dalam sidang media di sini semalam.
James berkata, selepas ini pesakit ESRF tidak perlu lagi membayar lebih ketika mendapatian rawatan di hospital swasta.
“Kita anggarkan setiap pesakit terpaksa membayar lebih daripada RM2,000 sebulan untuk mendapatkan perkhidmatan hemodialisis daripada pihak swasta.
“Kerajaan Sabah menambah bilang mesin rawatan dialisis ini untuk membantu meringankan beban pesakit buah pinggang untuk mendapat rawatan yang sewajarnya,” jelas James.
Menurutnya, kerajaan sedih apabila melihat pesakit ini tidak mendapat perkhidmatan mesin dialisis di hospital kerajaan berikutan jumlahnya begitu terhad.
“Pesakit ini terpaksa menerima rawatan di klinik atau di pusat dialisis disediakan oleh pihak swasta,” katanya.
Jams berkata, selain bantuan 100 mesin hemodialisis, subsidi tersebut merangkumi termasuk caj rawatan di klinik.
“Ini termasuk yuran pendaftaran berjumlah RM1.00 caj rawatan RM13.00 caj pusat dialysate RM100mserta yuran pakar RM5.00,” tambah James.
