KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah merekodkan hanya 435 mesin hemodialisis berfungsi dengan baik untuk merawat pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir (ESRF) di negeri ini.
Pengarahnya, Dr. Maria Suleiman berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 474 mesin hemodialisis sedia ada terdapat di fasiliti kesihatan JKNS manakala 39 lagi dikenal pasti tidak berfungsi dengan baik.
Katanya, nisbah pesakit sedia ada menjalani hemodialisis ke setiap mesin adalah 3.32 peratus iaitu kurang daripada 4.0 peratus sekali gus dijangka masih boleh menampung jumlah pesakit.
“Tetapi sekiranya, jumlah keseluruhan pesakit ESRF menjalani rawatan hemodialisis, nisbah pesakit ke mesin adalah 5.35.
“Ini memperlihatkan melebihi 4.0 di mana mesin hemodialisis sedia ada dikenal pasti tidak dapat menampung keperluan perkhidmatan ini,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Maria berkata, pesakit ESRF atau kegagalan buah pinggang tahap akhir merupakan keadaan di mana fungsi buah pinggang pesakit merosot teruk.
“Ini sudah tentu tidak lagi mampu mengekalkan keseimbangan cecair, elektrolit, dan penyingkiran sisa metabolisme dari badan.
“Tren jumlah pesakit ESRF di Sabah menunjukkan peningkatan bermula tahun 2020 sehingga tahun 2024,” jelas Maria.
Menurutnya, sehingga kini JKNS merekodkan 2,133 jumlah keseluruhan pesakit ESRF pada tahun lalu.