KOTA KINABALU : Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah perlu lebih proaktif menyelesaikan isu jalan rosak di seluruh negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, JKR mesti bertindak segera termasuk mengeluarkan arahan kepada pihak konsesi agar segera membaiki kerosakan jalan yang sudah dikenal pasti.
Katanya, kerajaan sangat memikirkan keperluan rakyat sekiranya gagal diambil tindakan akan mengundang reaksi negatif daripada rakyat.
“Kita berharap agar ada tindakan pemantauan dijalankan pihak pegawai jabatan ini sama ada melibatkan jalan Persekutuan atau negeri.
“Kita mahu JKR memberi perhatian kepada aduan rakyat. Ada aduan yang kerap dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerjanya ke Kementerian Kerja Raya di Bangunan JKR di sini hari ini.
Hajiji berkata, beliau mahu pihak JKR tidak hanya menunggu tetapi mencari penyelesaian segera kepada masalah ini.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata kerajaan negeri akan melantik penyiasat persendirian untuk mencari punca isu 60 peratus air tidak terhasil (NRW) dan kes kecurian air yang berleluasa di Sabah.
“Kita mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong untuk memberi perhatian kepada isu kekurangan tenaga kerja di kementerian itu,” kata Hajiji.