JKKK diminta mainkan peranan jadi ejen transformasi kepada rakyat – Hajiji

Hajiji menyampaikan watikah pelantikan (2023-2025) kepada JKKK bagi DUN Sulaman dan Pantai Dalit di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.

TUARAN: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan mereka selaku ejen transformasi serta wakil kerajaan yang memberi penerangan dan maklumat tepat kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, tugas merupakan keutamaan untuk memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang sentiasa menggugat kestabilan negeri dan negara. 

Katanya, antara salah satu tugas utama adalah untuk menjalinkan hubungan erat dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“JKKK juga membantu kerajaan menyebarluaskan dasar serta pembangunan yang sudah dibawa khususnya inisiatif-inisiatif Hala Tuju SMJ.

“Saya perlukan JKKK yang aktif dan komited membuat perancangan serta pelaksanaan program atau projek di kampung, di samping menggerakkan serta penglibatan komuniti setempat,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian watikah pelantikan (2023-2025) kepada JKKK bagi DUN Sulaman dan Pantai Dalit di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.

Hajiji merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berlata, semua Pengerusi JKKK serta ahli-ahlinya agar sentiasa menjalankan perancangan strategik, menunjukkan kesungguhan dan ketekunan serta mengamalkan semangat bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Jangan pula apabila dilantik sebagai pemimpin, hanya mahu fikir projek sahaja, tidak mahu turun padang, tidak mahu bekerjasama.

“Termasuk meminggirkan mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Pengerusi dan ahli jawatankuasa JKKK perlu peka dengan setiap masalah penduduk di kawasan masing-masing dan menyampaikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan kepada rakyat,” jelas Hajiji.

Menurutnya, kerajaan negeri terus komited untuk memperkukuhkan institusi ini khususnya dalam aspek kepimpinan dan kecekapan tadbir urus kampung.

“Saya juga berharap agar semua JKKK berusaha meningkatkan pengetahuan serta kemahiran secara berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas,” tambah Hajiji.