SEBATIK: Kemudahan jeti dan infrastruktur sokongan untuk komuniti nelayan di Pulau Sebatik perlu diberi perhatian segera bagi memastikan kelancaran aktiviti perikanan serta keselamatan penduduk.
Ahli Lembaga Pengarah Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan), Ismail Sabran berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi tinjauan lapangan yang dilakukan bersama wakil penduduk ke beberapa perkampungan nelayan baru-baru ini.
Menurutnya, lawatan tersebut memberi peluang untuk melihat sendiri keadaan jeti yang menjadi nadi utama aktiviti harian nelayan, selain memahami cabaran sebenar yang dihadapi komuniti berkenaan.
“Sepanjang tinjauan, kita dapat melihat keadaan jeti yang digunakan setiap hari oleh nelayan serta mendengar secara langsung pandangan mereka mengenai keperluan di lapangan.
“Antara isu yang dibangkitkan termasuk penyelenggaraan jeti, aspek keselamatan, kemudahan asas dan keperluan ruang penyimpanan pukat bagi memastikan aktiviti perikanan dapat berjalan dengan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan di Facaebook hari ini.
Beliau berkata, hasil tinjauan itu mendapati terdapat beberapa perkara yang memerlukan perhatian segera, khususnya dari segi penyelenggaraan jeti Ko-Nelayan serta penambahbaikan kemudahan asas di kawasan berkenaan.
Katanya, sokongan berterusan kepada komuniti nelayan juga penting bagi memastikan mereka dapat menjalankan aktiviti harian dalam keadaan lebih selesa dan selamat.
Dalam pada itu, Ismail turut merakamkan penghargaan kepada wakil penduduk Kampung Sebatik serta warga nelayan yang memberikan kerjasama dan berkongsi pandangan sepanjang sesi tinjauan tersebut.
Beliau berharap hasil lawatan itu dapat menjadi langkah awal ke arah penambahbaikan yang lebih menyeluruh, sekali gus meningkatkan kesejahteraan komuniti nelayan di Pulau Sebatik.
