LAHAD DATU: Dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di daerah ini, awal pagi Ahad.
Tindakan itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Lahad Datu menerusi Ops Tiris 4.0 yang bermula pada jam 12 tengah malam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Lahad Datu, Azizul Amran berkata, kedua-dua suspek dikesan sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di atas dua kenderaan pacuan empat roda.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran bagi pengisian diesel tersebut.
“Susulan itu, kedua-dua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam operasi sama, KPDN turut merampas kira-kira 1,000 liter diesel, dua kenderaan pacuan empat roda dan menahan dua suspek.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM117,150.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
