TAWAU: Kerajaan Persekutuan diharap dapat meluluskan segera projek pembinaan jeti konkrit di Kampung Sungai Tongkang, Pulau Sebatik yang masih tertangguh sejak 2022.
ADUN Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata, permohonan tersebut telah dikemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), namun masih belum menerima kelulusan.
Menurutnya, Majlis Perbandaran Tawau sudah menyediakan Dokumen Bil Kuantiti (BQ) bernilai RM2.5 juta untuk projek berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk.
Hassan berkata, kerajaan Persekutuan sebelum ini hanya membina kepala jeti bernilai RM500,000 manakala jambatan kayu uzur terpaksa dibaik pulih menggunakan peruntukan ADUN sebagai langkah sementara.
Katanya, permohonan tambahan juga telah diajukan kepada Jabatan Ketua Menteri dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan peruntukan baharu.
